KUANTAN - Beberapa hari yang lalu kami dikejutkan dengan pengumuman kerajaan negeri Pahang untuk melantik beberapa orang penulis blog dari kalangan pesara kerajaan di Pahang, kononnya bagi menangis dahyah pihak tertentu. Lebih menarik lagi khabarnya tiga orang penulis blog telah dilantik dan mereka akan dibekalkan dengan komputer, internet acces dan juga elaun bulanan. Maka, kami amat teruja dengan berita itu yang bagi kami sesuatu yang amat baik dan sesuai untuk kerajaan negeri. Cuma apa yang berlaku sebelum ini, kerajaan negeri Pahang masih lagi ditakuk lama, bagai "katak dibawah tempurung". Orang lain sudah lebih 10 tahun dengan blog, dan kini baru mereka beriya-iya untuk tujuan itu. Lebih menyedihkan lagi, tinjauan kami, tidak wujud satu pun blog pemimpin UMNO Pahang di alam siber. Bukan sahaja blog pemimpin, malahan cawangan atau mana-mana bahagian itu sendiri. Ditambah lagi, kami difahamkan iaitu laman web UMNO Pahang sendiri kini sudah tersadai, terabai dan terbiar layu. Kini, laman web UMNO Pahang www.umopahang.com.my sudah ditutup dan tidak beroperasi lagi. Ini jelas membuktikan bahawa mereka tidak peka dan mengambil perhatian serius tentang "perang siber" yang kian melanda.
Mereka lupa dan alpa bahawa BN kehilangan 5 negeri dalam pilihanraya umum lalu gara-gara "penangan blog". Kini sesudah hampir 8 bulan pilihanraya berlalu, baru mereka "terhegeh-hegeh" untuk melantik penulis blog bagi menentang pengaruh pihak lawan. Bagi kami, "sayang seribu kali sayang" semuanya kini sudah terlambat. Menjadi blogger bukanlah semudah yang disangka ! Pesara kerajaan atau sesiapa sahaja yang pandai ICT belum tentu boleh menjadi "blogger politik" mungkin untuk buat blog keluarga tidak menjadi masalah. Tapi "blogger politik" memerlukan semangat, kekuatan dalam, iltizam yang tinggi serta kepekaan dalam mengutarakan sesuatu isu dan pandangan. Bahkan, pengorbanan besar juga dari segi masa dan wang ringgit perlu demi kepuasan dan perhatian pembaca. Jika ini dapat dilakukan, maka masih ada banyak lagi pra-syarat yang harus diketahui oleh sesorang yang ingin bergelar sebagai penulis blog. Justeru itu, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pahang seperti yang dinyatakan oleh exco terbabit sesungguhnya "sudah terlambat dan ketinggalan zaman". Lebih elok mereka membina dulu laman web UMNO Pahang sebelum membuat blog. Dibawah ini kami siarkan satu komen pembaca Darius Iman, K.Rompin tentang isu ini. Komen beliau telah disiarkan dalam ruangan interaktif akhbar Sinar Harian Pahang semalam.Justeru itu, kami dengan ini menyeru YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob bertanya kepada Dato' Sharkar "Apa yang telah beliau buat sepanjang menjadi exco?". Bukankah beliau yang bertanggungjawab dalam urusan penerangan, sains, teknologi dan inovasi bagi negeri Pahang. Amat memalukan dalam era siber ini, beliau gagal memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat Pahang mendapat maklumat tepat tentang pembangunan serta segala aktiviti kerajaan negeri itu sendiri. Ia berbeza dengan negeri-negeri lain. Biarpun kini kerajaan Pahang mempunyai laman web rasmi www.pahang.gov.my yang mana terdapat satu ruangan khas "berita Khabar Pahang" yang diselitkan. Namun ia jarang dikemaskini dan maklumat yang disiarkan sudah lapuk dan tidak "realtime". Ini seolah-olah "menghina" teknologi ICT itu sendiri. Sepatutnya Dato' Sharkar sedar bahawa rakyat inginkan maklumat yang "santai" dan terkini tentang isu-isu semasa dan sebagainya. Maka itu beliau gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut. Setakat jadi exco, kemudia pergi merasmi program di sana sini, semua orang boleh buat. Sepatutnya beliaulah yang mencetuskan idea dan melaksanakan tugasan penting ini sejak dilantik sebagai exco kerajaan negeri.Pembaca Blog Mahukan Maklumat Telus
Langkah kerajaan Pahang untuk menggunakan pesara kerajaan menjadi Penulis Blog bagi menepis fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak tertentu terhadap kerajaan negeri boleh dianggap satu langkah "tangkap muat". Dato' Sharkar Shamsudin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi sepatutnya sedar bahawa orang ramai membaca blog adalah untuk mencari berita pihak kedua atau berita yang tidak disiarkan oleh media arus perdana. Jadi, jika blog ditulis dengan gaya dan isi kandungan yang sama dengan apa yang dipaparkan oleh media arus perdana, pasti menggunakan khidmat pesara kerajaan atau sesiapa sahaja sebagai penulis blog tidak akan membawa sebarang perubahan. Apa yang Dato' Sharkar lakukan sekarang sama seperti apa yang UMNO lakukan apabila menerima tamparan hebat selepas Pilihanraya Umum ke-12 lalu.
Selepas PRU-12 maka berbondong-bondong pemimpin UMNO membuka blog sendiri, seolah-olah mempunyai blog boleh menyelesaikan semua masalah. Begitu juga dengan pemuda UMNO, meminta sesiapa dari kalangan mereka yang ingin menjadi pemimpin perlu mempunyai blog sendiri. Namun mereka seolah-olah tidak menyedari langkah yang diambil hanyalah bersifat kosmetik semata-mata. Inilah masalahnya dengan UMNO mereka tidak memahami aspirasi rakyat. rakyat bukan mahukan sekadar blog, rakyat hanya mahukan maklumat yang telus dan pertukaran idea yang jelas dan kritis. Rakyat mahukan persoalan yang ditimbulkan dijawab dengan maklumat yang tepat dan boleh dibahas, bukan menyumbat maklumat yang separuh "benar" ke benak mereka. Nah, blog memberi "maklumat yang lain" yang tidak mungkin diperolehi dari media arus perdana tau blog wakil rakyat atau blog pemimpin UMNO.
Penulis blog perlu meluangkan masa melayani pertanyaan pengunjung, memberi maklumat terkini mengenai sesuatu isu dan bersikap terbuka. Sebenarnya jika Dato' Sharkar rajin melayari internet dan membaca blog-blog yang tumbuh bagaikan cendawan, sudah banyak blog yang pro-kerajaan yang mendapat "hits tinggi" kerana cara blog tersebut membahaskan isu berjaya menarik perhatian pengujung. Tidak timbul isu fitnah-menfitnah dalam blog kerana jika sesuatu isu itu dijawab dengan fakta yang tepat, pasti pembaca dapat menilai blog mana lebih sesuai untuk dikunjungi dan maklumat mana yang lebih bernilai. Yang paling penting dalam isu blog ini ialah pembaca atau rakyat mahukan penjelasan yang telus dalam setiap isu yang timbul agar mereka dapat menilai sendiri, kerana mereka kini lebih merdeka.
Amat memalukan bila seorang exco yang sepatutnya memainkan peranan ini gagal untuk bebruat demikian. Dalam masa yang sama, mereka agung-agungkan kewujudan MSC (Multi Media Super Coridor) yang terbesar di Pantai Timur yang terletak di Kuantan. Namun, mereka sendiri gagal memainkan peranan dan mendahului parti pembangkang dalam teknologi ICT itu sendir. Mereka lupa 2 juta pengundi baru adalah generasi muda, dan mungkin lebih dari 20% darinya adalah warga Pahang. Ini memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat untuk menguasai minda anak-anak muda tersebut. Keyakinan ini bersandarkan kepada apa yang berlaku sekarang, UMNO Pahang ketinggalan zaman dalam dunia ICT. Kami yakin agenda "Perang Siber" dan "Misi tawan Pahang" akan bermula di negeri ini, dan harapan untuk Pakatan Rakyat menakluki Pahang kian cerah dan sudah ada tanda-tandanya.
[Kami mendapat maklumat bahawa blog ini kini mendapat rating yang tinggi daripada kakitangan awam dan mahasiswa anak Pahang di seluruh dunia. Maka itu, besar harapan kami agar sokongan padu ini akan dapat mewujudkan satu kekuatan untuk kami menggempur kerajaan negeri Pahang dengan siri pendedahan terkini yang lebih panas dan sensasi selepas ini. Kami juga menyeru kepada pihak-pihak terbabit, terutamanya yang mempunyai maklumat tentang penyelewengan, rasuah dan korupsi di jabatan masing-masing agar menyalurkan maklumat serta bukti untuk didedahkan disini. Semoga dengan ini kita akan dapat mengadakan "check n balance" terhadap kepimpinan kerajaan negeri Pahang yang senantiasa dirundung masalah kewangan sejak dulu, kini dan selamanya ini].

