KUANTAN - Maka hebohlah warga Pahang perihal sebuah kelab golf terkenal di bandar ini "disita" gara-gara hutang RM30 juta beserta bunga hampir RM10 juta kepada Agro Bank. Perkara ini telah kami dedahkan semalam. Anehnya ada pula pencacai UMNO dan BN yang mempertikaikan kewajaran kami mengaitkan kes Astana Golf & Country Club ini dengan pihak kerajaan negeri. Maka tiba-tiba hari ini disiarkan berita besar "Pekerja Kelab Golf Piket" ekoran dakwaan kelab milik Kerajaan Negeri itu gagal bayar pinjaman RM30 juta. Rupanya apa yang kami perkatakan sebelum ini bukanlah satu fitnah dan tohmahan semata-mata. Kami difahamkan kelab golf terbabit adalah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan telah memulakan operasinya sejak 12 tahun yang lalu. Maknanya kini sah bahawa kelab eksklusif itu ada kaitan dengan Kerajaan Negeri Pahang. Tetapi kenapakah ramai pencacai UMNO yang mempertikaikan perkara ini?Maka berbagai-bagai komen yang kami terima bila artikel kami disiarkan sebelum ini iaitu "Eksklusif: Memalukan, Kelab Golf Terkenal Disita Gara-Gara Gagal Lunaskan Hutang RM40 Juta !!" Antara komentar yang paling panas datangnya dari komentar yang menggelarkannya Ahli Sufi Semantan. Beliau dengan marahnya berkata "Astagha, FITNAH lagi, nape ni sheikh apa plak kaitan kelab golf disita dgn parti pemerintah, ni bisnes sheikh, ada untung rugi standard la, kita dengar dulu penjelasan pengurusan Astana, tak baik sheikh tokok tambah citer nanti tambah dozer...". Sekarang, apa lagi yang ingin diperkatakan bila akhbar arus perdana sendiri melaporkan kelab golf itu adalah milik kerajaan negeri. Buktinya sila klik sini, memang benar kelab golf itu adalah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang. Sungguh memalukan !!. PKNP dipercayai mempunyai 51% pegangan ekuiti dalam pengurusan kelab golf terbabit rupanya. Sekarang, apa komen Ahli Sufi Semantan?. Mahu "berselindung lagi ?" mengatakan ini semua fitnah. Sudah "terang lagi bersuluh" kelab itu ada kaitan dengan Kerajaan Negeri Pahang.
Kelab Golf Diuruskan Oleh Adik MB Pahang Sendiri
Justeru itu kami pun mengadakan edisi siasatan tentang siapakah yang berada disebalik kelab golf ternama ini. Kelab ini adalah anak syarikat PKNP, bermakna ia ada kaitan dengan MB Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob. Tambahan pula Menteri Besar itu adalah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang. Maka beliau memang layak melantik sesiapa sahaja untuk menjadi Pengurus kelab golf terbabit. Kami cuba mencari laman web Astana Golf & Country Club, namun tidak ditemui. Menunjukkan kelab ini masih ketinggalan zaman dari sudut teknologi maklumat rupanya. Maka, siasatan kami tertumpu siapakah yang mengedalikan kelab terbabit. Akhirnya, siasatan itu berjaya dilakukan dengan kerjasama beberapa orang kakitangan yang terlibat. Adalah dipercayai kelab golf itu diuruskan oleh individu yang ada hubungan keluarga dengan Menteri Besar Pahang sendiri iaitu "Adik beliau". Menurut sumber, sebelum ini adik MB itu telah diberi amanah menguruskan kelab golf di daerah Bera. Namun difahamkan kelab golf itu telah terlebih dahulu "terlingkup" dibuat olehnya.
Sebahagian pekerja kelab golf terbabit yang berpiket pagi semalam
Maka MB dengan bermurah hati melantik beliau mengendalikan kelab golf Astana di Indera Mahkota Kuantan yang lebih eksklusif. Namun, segala jasa abangnya itu "dipersetankan" oleh beliau. Akhirnya sekali lagi beliau "melingkupkan" pula kelab terbabit. Dan kini ia telah disita pula oleh Agro Bank. Inilah masalahnya jika pengurusan diberikan kepada individu yang tidak cekap dan amanah. Apa sahaja yang diberikan pasti akan dilingkup. Jika ini senarionya, maka MB Pahang bakal terpalit dengan insiden ini. Sudahlah beliau sendiri gagal membayar hutang saman terhadapnya sebanyak RM60 juta sebelum ini. Kini adiknya pula berhutang dengan Agro Bank dan tidak membayar pinjaman tersebut walaupun secara ansuran. Nampak benar, kedua-dua tokoh ini layak digelar "individu yang hebat" di negeri Pahang. Mereka ada hubungan keluarga, Si Abang bakal menyebabkan negeri Pahang disita selepas ini, manakala adiknya telah melakukan terlebih awal dengan menyebabkan kelab milik kerajaan negeri itu disita !!Keluarga "Yaakob" Cipta Rekod Hutang RM90 Juta !!
Dengan apa yang berlaku ini, diharap rakyat dapat sedar dari lamunan terutamanya puak-puak UMNO karat yang masih lagi mengagung-agungkan Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob. Kini terbukti dua orang ahli keluarga "Yaakob" telah mencipta sejarah baru "membuat hutang sebanyak RM90 juta" yang bakal ditanggung oleh rakyat Pahang. Sudahlah sebelum ini beliau membentang "Bajet Defisit" juga hampir mencecah RM100 juta. Apa lagi yang mahu ditunggu oleh rakyat Pahang. Masa untuk buat perubahan sudah tiba, jangan gadaikan maruah anda serta generasi akan datang. Sebusuk-busuk MB Khalil Yaakob dulu, kita tidak mendengar cerita sensasi seperti ini. Maka itu kami dengan bangganya menyeru rakyat Pahang diseluruh dunia untuk menyebarkan maklumat penting ini, agar generasi muda yang bakal mengundi pada pilihanraya umum ke-13 nanti akan menolak kerajaan UMNO dan Barisan Nasional dari terus berkuasa di bumi Pahang ini.
Kenyataan Bebal Ahli Sufi Semantan Tentang Isu Ini
Biarpun telah kami perkatakan bahawa apa yang berlaku terhadap Astana Golf & Country Club itu ada kaitan dengan MB Pahang. Ini kerana kuasa beliaulah maka, dia melantik "kroninya" itu menerajui kelab golf terbabit. Namun entah apa malangnya, ada lagi rakyat Pahang seperti Ahli Sufi Semantan yang merapu tak tentu hala. Beliau jelas tidak boleh menerima kenyataan. Lihat komen terbaru beliau tentang hal ini "Syukran sheikh siarkan komen ana, waima bwh anak syarikat sekalipun its a business nature..mana bukti documented yg tunjukkan anak beranak MB ada kaitan kalau enta sendiri tak jumpa bahannya! A person is innocent until proven guilty sheikh, sementelah lg, setakat sita bank, boleh settle outside court ya habibi" katanya. Kenyataan beliau bahawa "Setakat sita Bank boleh settle outside court jelas sekali membuktikan bahawa memang puak-puak UMNO kejenya merasuah. Sampai pegawai bank pun nak dirasuah untuk settle luar. Apa "dia ingat bank tu bapak dia punya ke?". Kalau boleh settle luar, kita cadangkan supaya Ahli Sufi Semantan nasihatkan MB Pahang, Adnan Yaakob settle kes saman RM60 juta balak SGM dulu di luar mahkamah. Kenapa masa jumlah masih tidak banyak, MB tak settle "outside court"?. Apa Ahli Sufi Semantan ingat Agro bank "bangang" macam puak-puak UMNO?. Awak rompak RM30 juta then mahu settle luar?. Semoga Ahli Sufi sedar atas kesilapan beliau ini. Masih mahu terus pertahankan benda yang sudah terang lagi bersuluh. Kembalilah ke pangkal jalan. Jangan lagi bersekongkol dengan orang yang tidak pandai memerintah negeri dan merompak wang rakyat.
[Sampai bilakah kita harus terus ditipu oleh puak-puak UMNO yang semakin rakus merompak wang dan khazanah rakyat Pahang ini. Mereka berjuang atas nama membela Melayu, namun sebenarnya mereka menipu "mak ayah" kita. Wang digunakan untuk membeli undi setiap kali musim pilihanraya. Mereka digula-gulakan supaya terus menyokong pemimpin yang "bertopengkan Melayu" ini. Ditanamkan dalam jiwa dan kepala otak mereka rapat-rapat "hanya UMNO sahaja yang layak memerintah, jika parti lain Melayu akan hancur dan rakyat akan huru-hara". Maka sejak dulu, kini dan selamanya ayah dan bonda kita akan termakan budi dan terus menabur bakti mengundi "dacing karat" itu lagi tatkala pilihanraya. Namun, sesuatu yang amat baik bila SPR mengumumkan 2 juta pengundi baru yang terdiri dari kalangan orang muda akan berdaftar sebagai pengundi dalam pilihanraya umum akan datang. Satu tamparan hebat buat kepimpinan UMNO dan BN di Pahang. Jika Selangor, lubuk wang UMNO itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Masakan segala ini tidak boleh berlaku di Pahang agaknya] Sumber: pahangdaily