Entry: . Monday, December 15, 2008



Eksklusif: Bongkar, Mentiga Corporation Berhad Sebuah Lagi Anak Syarikat Kerajaan Pahang Yang Bakal Gulung Tikar Gara-Gara Penyelewengan !!


PEKAN - Setelah beberapa siri pembongkaran dibuat terhadap isu rasuah korupsi, kronisme dan penyelewengan dibuat terhadapan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang baru-baru ini, maka kami amatlah berharap agar rakyat Pahang yang berada di seluruh dunia dapat menerima maklumat sebenar dan menghebahkan kepada rakan-rakan yang lain tentang perkara ini. Selama ini, tidak banyak pihak yang sanggup tampil ke depan bagi menyatakan kebenaran biarpun ia terlalu pahit untuk ditelan. Kami beranggapan itu adalah asam garam kehidupan, mana mungkin mereka yang terlibat dengan semua itu berani menyatakan kebenaran biarpun "hingga ke titisan darah yang terakhir". Mereka ini lebih rela mati dalam "kekotoran dan kelalutan" hanya sebuah kemewahan dan keseronokan duniawi yang dimiliki hari ini. Justeru itulah, kami tidak hairan pabila segala pembongkaran yang dilakukan oleh PDO selama ini dianggat sebagai fitnah, fiksyen, dongeng dan pembohongan oleh puak-puak UMNO juga Barisan Nasional. Mungkin mereka terkejut kerana selama ini rakyat Pahang hanya berdiam diri melihat segala kepincangan yang berlaku. Namun, dengan adanya wadah perjuangan seperti PDO ini ia diharap dapat menjadi satu sumber dan peluang terbaik untuk kita membongkar serta membicarakan tentang segala kerakusan dan ketirisan kewangan yang berlaku dalam Kerajaan Negeri hingga menyebababkan bajet yang dibentangkan saban tahun senantiasa mengalami defisit. Ini bukan kesalahan yang terletak di bahu Menteri Besar Pahang sendiri, tetapi sebaliknya adalah barisan pentadbiran (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) yang pincang dan gagal berfungsi dengan baik sebenrnya. Mereka merahsiakan apa yang harus didedahkan untuk makluman dan tindakan pihak berkenaan, bahkan lebih rela bersekongkol demi sebuah kehidupan yang telah mengorbankan nasib rakyat dan generasi akan datang.

Pembongkaran terbaru yang ingin kami dedahkan ini lebih panas dan sensasi daripada yang kita dengar sebelumnya. Ini berkaitan dengan sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang, iaitu Mentiga Corporation Berhad yang mana adalah salah sebuah syarikat yang cukup terkenal di negeri ini dulu dalam urusan pembalakan, kilang pengeluaran kayu, pengeluaran hasil berasaskan perkayuan seperti papan lapis, plywood, softwood, hardwood, perladangan sawit, penasihat perladangan dan pelaburan. Difahamkan, syarikat ini banyak mendapat kontrak kerajaan, namun sejak puluhan tahun yang lalu Mentiga Corpration Berhad ini, didapati sebuah syarikat yang "Gagal" dan "hidup segan mati tak mahu". Hampir 400 orang pekerja syarikat ini yang kini beroperasi di Pekan Pahang dikatakan hanya "makan gaji buta" tanpa ada sebarang operasi bersepadu yang melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri itu. Menurut laporan, pihak pengurusan tidak berani untuk memecat dan menamatkan kontrak pekerja terbabit kerana khuatir dengan bayaran pampasan yang besar kerana sebahagian daripada mereka sudah bekerja di situ sejak puluhan tahun yang lalu. Maka itulah, pihak Mentiga terpaksa memelihara kesemua pekerja terbabit biarpun operasi syarikat berkenaan sudah tidak berfungsi dengan memuaskan sejak beberapa tahun yang lalu.

Kilang operasi Mentiga Corporation Berhad ini, boleh didapati di Peramu Jaya, Pekan. Ia tersergam indah disitu disamping deretan industri yang lain di pintu masuk ke Pekan Bandar DiRaja itu. Namun, tidak ramai yang mengetahui rahsia sebenarnya yang terdapat dan melibaitkan syarikat tersebut kerana kebanyakannya mungkin hanya mendengar "khabar angin" dan cerita belakang daripada pihak-pihak berkenaan. Mungkin juga puak-puak UMNO dan BN Pahang sendiri gagal untuk menjejaki kisah dibelakang tabir Mentiga ini, atau mereka sudah tahu tetapi "dipekakkan telinga" masing-masing sejak dulu, kini dan selamanya. Maka itulah kami telah mengarahkan krew kami di Pekan untuk menjejaki dan mendapatkan maklumat terkini tentang syarikat ini buat tatapan pembaca sekelian. Ini adalah satu tamparan hebat yang bakal dianggap dongeng, fiksyen dan pembohongan oleh mereka yang tidak mahu menerima kebenaran selepas ini. Kami yakin, ia pasti berlaku terutamanya bagi golongan pengampu yang berjuang untuk kepentingan peribadi dan periuk nasi masing-masing. Maka itu, demi "rakyat yang tidak berdosa" kami mengambil peluang ini untuk memaparkan beberapa kisah menarik yang pasti meruntun jiwa kita semua selepas ini.


Gaji Pengarah Urusan RM38,000 Sebulan

Kami difahamkan, biarpun Mentiga Corporation Berhad tidak beroperasi dan berfungsi dengan baik sejak puluhan tahun lalu. Namun, agak menghairankan pabila mendapat laporan bahawa gaji yang diperolehi oleh Managing Director (Pengarah Urusan) syarikat terbabit yang dikenali sebagai Encik Muhammad Nasir mencecah sehingga RM38,000 sebulan. Itu belum lagi termasuk segala elaun dan insentif lain. Bayangkan, kemungkinan besar pendapatan purata yang diperolehinya ialah antara RM40,000 hingga RM50,000 sebulan. Ini adalah suatu pembaziran wang rakyat yang amat nyata. Tambahan pula syarikat terbabit adalah merupakan Anak Syarikat Kerajaan Negeri Pahang. Gaji yang diterima oleh Pengarah Urusan itu lebih tinggi daripada yang diterima oleh Pengarah Urusan hatta Pengurus Besar agensi lain sekali pun. Kami difahamkan Pengurus Besar, Amanah Saham Pahang (ASPA) yang lebih banyak bidang perniagaannya sekalipun tidak sampai mencecah RM20,000 sebulan. Ini amatlah mengecewakan rakyat sebenarnya. Kenapakah perkara ini dibiarkan?. Harapan kita agar YAB Menteri Besar Pahang selaku ketua pentadbiran negeri dapat memantau perkara ini. Mana mungkin gaji seorang Pengarah Urusan syarikat yang gagal beroperasi dengan baik boleh mencecahh sebegitu tinggi diketika kegawatan dan kemelesetan ekonomi global yang sedang melanda mutakhir ini. Perkara ini perlu dibongkarkan dan didedahkan kepada rakyat!!

Mengubah Skop Perniagaan Dari Bidang Asas

Mentiga Corporation Berhad juga kini dipercayai telah mengubah skop bisnesnya daripada bidang asas perkayuan kepada perlombongan dan perumahan. Ini amatlah tidak bertepatan degan fungsi asal syarikat terbabit yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Pahang selama ini. Walhal, dalam bidang perkayuan selama ini, Mentiga muncul sebagai sebuah syarikat gergasi yang amat digeruni di negeri Pahang termasuk di Malaysia amnya. Namun kini, mereka telah mengubah skop bisnes tersebut demi kepentingan periuk nasi beberapa kerata pemimpin tertentu. Ini perlulah dikaji dengan teliti, kerana kepakaran yang ada kepada mereka ialah dalam bidang perkayuan sebenarnya. Memang tidak janggal dan strategi bisnes, mana-mana syarikat mengembangkan operasi perniagaan mereka untuk mencari keuntungan. Namun, Mentiga Corporation mengubah skop dalam keadaan mereka mengalami kerugian dan membazirkan wang rakyat. Mereka juga telah disabitkan dengan penyelewengan pembinaan perumahan di Perkampungan Sungai Isap Damai, Kuantan dulu. Di mana akibat masalah tersebut, hingga kini kawasan terbabit mengalami banjir besar dan terburuk pada tahun 2001 yang lalu. Penghuni rumah dikawasan berkenaan sebelum ini berhasrat untuk menyaman pemaju terbabit iaitu Mentiga Corporation Berhad, namun campurtangan pihak atasan menyebabkan ia gagal dilakukan. Maka, kini para penduduk di kawasan terbabit terpaksa hidup dalam "trauma". Semua ini dilakukan gara-gara penipuan urusan pembinaan kawasan terbabit yang "penambunan tanahnya" dibuat rendah dari yang sepatutnya. Kami turut mendapat maklumat bahawa syarikat ini juga akan diberikan hak untuk membangunkan projek kedai perniagaan diatas tapak tanah "Matau di Bandar Jengka" yang kecoh menjadi isu sekarang ini. Apakah syarikat yang gagal seperti ini berjaya mendapat projek-projek anugerah oleh Kerajaan Negeri seperti itu?

Kawasan Pembalakan 24,000 Ekar Diseleweng

Mentiga Corporation Berhad difahamkan telah menerima banyak kawasan pembalakan daripada Kerajaan Negeri Pahang. Ia dipercayai akibat hubungan "Akrab" antara Pengarah Urusan syarikat terbabit dengan seorang individu yang tertaraf "Adik Menteri Besar Pahang". Pihak Badan Pencegah Rasuah dimintan agar menyiasat perkara ini demi kepentingan rakyat Pahang secara keseluruhannya. Difahamkan atas desakan "Adik MB" maka, Mentiga mendapat kelulusan kawasan balak yang luas. Antara kawasan terbabit ialah 12,000 ekar di kawasan Hutan Simpan Berkelah, Paya Bungor, Maran pada tahun 2006. Manakala satu lagi kawasan terbaru ialah di kawasan Hutan Sg.Rimau, Sungai Lembing yang luasnya juga adalah 12,000 ekar. Masalahnya disini ialah kelulusan balak 12,000 ekar dikawasan terbabit, tetapi tiada satu batang balak pun yang dihantar untuk diproses di Kilang Mentiga Corporation Berhad yang terletak di Pekan Pahang. Ini amatlah memusykilkan !! Ke mana pergi kayu balak terbabit?. Apakah ada perompak yang telah membawa lari balak itu sebelum ia sampai ke kilang?. Jika ada sekalipun, maka mungkin kesemua sekali dicuri. Rakyat Pahang harus tahu kisah ini sebenarnya. Manakala itu bagi kawasan balak di Sg.Rimau, Sungai Lembing pula ia dipercayai diluluskan untuk urusan perladangan Kelapa Sawit. Namun penyelewengan telah berlaku apabila 12,000 ekar hutan balak dibawa keluar tetapi hanya 3,000 ekar sahaja yang ditanam kelapa sawit , termasuk hutan. Inilah bukti jelas bahawa harapan yang terletak dibahu rakyat Pahang telah diselewengkan oleh pihak terbabit sebenarnya. Hubungan rapat antara Pengarah Urusan dengan Adik MB menyebabkan YAB Menteri Besar Pahang terpaksa memberi kawasan berkenaan kepada syarikat terbabit. Apakah MB pernah menyiasat penyelewengan ini?.

Pembaziran Wang Mesyuarat Di Luar Negara

Mentiga Corporation Berhad adalah syarikat milik Kerajaan Negeri Pahang. Maka sepatutnya segala operasi dan perjalanan syarikat terbabit perlulah diteliti dan dipantau oleh YAB Menteri Besar Pahang. Dato' Seri Adnan Yaakob. Beliau kononnya "jijik" dengan amalan rasuah "politik wang dalam UMNO". Tetapi dalam masa yang sama beliau lupa betapa banyaknya amalan rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam urusan pentadbirannnya selama ini. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab kami kepada rakyat Pahang untuk membongkar segala kepincangan yang berlaku ini. Supaya beliau celik mata dan mengambil langkah untuk memperbetulkan keadaan ini. Langkah pembaziran wang rakyat terus berlaku setiap bulan di Mentiga Corporation Berhad ini. Biarpun mereka dilihat "hidup segan mati tak mahu" di Pekan Pahang. Namun kenapa pejabatnya tersergam indah di Kuala Lumpur. Tidak bolehkan Mentiga membina pejabat di ibu negeri Pahang di Kuantan?. Ini semua adalah untuk pembaziran yang nyata sebenarnya.Tambahan pula semua Ahli Lembaga Pengarah Syarikat difahamkan senantiasa mengadakan mesyuarat pengurusan di luar negara. Apa yang mereka buat sebenarnya?. Lokasi pilihan ialah di Pulau Bali Indonesia. Mesyuarat mungkin hanya sehari sahaja, tetapi masa yang diperuntukan ialah 4 hingga 5 hari untuk tujuan bersantai sambil "bermain golf". Bukankah ini satu pembaziran wang rakyat sebenarnya. Tidak bolehlah mereka bermesyuarat di dalam negara?. Dalam usaha kerajaan untuk berjimat cermat dan belanja prihatin, mereka di Mentiga Corporation Berhad sewenang-wenangnya menggunakan wang rakyat untuk tujuan itu.

Harapan Rakyat Pahang Kepada Kerajaan Negeri

Justeru itu, dengan pendedahan ini besarlah harapan kami agar perkara ini dapat disiasat oleh YAB Menteri Besar Pahang, selaku ketua negeri. Tambahan pula Mentiga Corporation Berhad adalah Anak Syarikat Kerajaan Negeri sendiri. Soal fitnah dan fiksyen tidak harus ditimbulkan disini oleh pihak-pihak berkaitan. Cukuplah kami nyatakan bahawa banyak lagi fail-fail sulit melibatkan kepimpinan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang akan didedahkan selepas ini. Justeru itu, sila prihatin nasib rakyat Pahang yang ramai lagi yang terpaksa menderita dan berada di paras kemiskinan "tegar" seperti yang didedahkan oleh pihak media selama ini (foto). Kami amat sedih dengan apa yang berlaku. Rakyat tersiksa dan menderita, sebaliknya ada pihak yang bersuka ria dan bergembira merompak dan menyelewengkan wang rakyat sesuka hati mereka. Apakah ini namanya "Tradisi Membela Rakyat". Kami tahu, akan ada pihak yang diupah akan mempertahankan lagi kisah yang kami dedahkan ini. Namun begitu, jangan sampai kami membongkarkan lebih banyak penyelewengan selepas ini. Kepada YAB Menteri Besar Pahang sendiri, kami harap anda mengotakan janji anda bahawa tidak akan melibatkan "kroni, adik beradik" atau sesiapa sahaja saudara menikmati kekayaan dan projek kerajaan. Namun kini, setelah dua pendedahan dibuat, ternyata kedua-duanya melibatkan "Adik Menteri Besar Pahang" itu sendiri iaitu dalam kes Astana Golf dan Mentiga Corporation ini. Maka itu, jangan hanya "indah khabar dari rupa", kerana ada rakyat prihatin yang akan bangkit untuk menegakkan kebenaran. Kami juga mendapat maklumat bahawa Pengarah Urusan Mentiga Corporation bukanlah "Anak Jati Pahang" sebaliknya adalah orang luar dan merupakan bekas pengurus sebuah bank sebelum ini.

Dato' Seri, Jadilah MB Untuk Rakyat Pahang


Dengan pendedahan demi pendedahan yang dilakukan ini, maka kami sebagai rakyat prihatin menyeru supaya YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob dapat berubah minda dan fikiran selepas ini. Anda dipilih oleh rakyat menerusi cara demokrasi pilihanraya. Maka itu anda menang dan memerintah. Rakyat yang mengundi anda atau tidak adalah "Rakyat Pahang" yang perlu anda bela. Jangan jadikan mereka yang menyokong pembangkang sebagai "musuh". Pembangkang bukan "komunis" yang mahu senantiasa di "attack". Anda harus jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Ingatlah, tugas sebagai Khalifah di muka bumi ini amatlah berat untuk ditanggung. Jangan terikut-ikut dengan budaya UMNO dalam kerajaan. UMNO, PAS, PKR, DAP dan sebagainya adalah parti semasa pilihanraya. Selepas pilihanraya semua rakyat Pahang adalah "amanah anda". Kenapa harus dibeza-bezakan dari segi kebajikan, peruntukan, pertolongan serta lain-lain kemudahan?. Apakah anda fikir anda akan hidup sampai bila-bila?. Ingatlah "mati" itu akan menjemput kita bila-bila masa sahaja. Lihat apa yang berlaku di depan mata?. Ada yang mati ketika bermain badminton, ketika memandu dan sebagainya. Apakah jawapan anda di akhirat kelak. Bila ditanya apakah tanggungjawab Khalifah di mukabumi ini telah dilaksanakan. Anda menjawab "sudah" tetapi kepada siapa?. Anda menjawab hanya kepada "puak-puak UMNO dan BN". Inikah jawapan yang anda inginkan. Ingatlah, sesuatu boleh berlaku dalam politik, mahu dihalang dan ditolak mungkin boleh. Tetapi, jika perubahan itu dimahukan oleh rakyat maka ia pasti akan terjadi. Lihatlah apa yang berlaku di negeri lain sebelum ini. "Kebenaran adalah umpama sebiji bola yang ditekan ke dalam air, semakin ditekan maka semakin kuat ia menolak. Jika bola itu dilepaskan, maka bola akan melambung ke udara". Inilah sebenarnya yang anda harus ingat dan jadikan pedoman dalam kehidupan.

[Ingatlah, bahawa penyokong pembangkang juga membayar cukai dan segala-galanya. Tetapi "politik bermusuhan" yang diamalkan oleh UMNO dan BN telah meletakkan mereka setaraf dengan "komunis" yang tidak harus dibela. Inikah prinsip hidup anda sebagai orang Islam. Justeru itu, sebagai rakyat prihatin kami berjanji akan bersama rakyat untuk membela nasib mereka serta membongkar segala penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan selama ini. Untuk makluman, kami difaham terdapat beberapa kumpulan akan menubuhkan "Suara Pembela Rakyat Malaysia (SPRM)" di Pahang dalam masa terdekat ini. Ia dianggotai oleh parti politik serta NGO yang akan bersama-sama membongkarkan lebih banyak isu di negeri ini. Justeru itu, kami amatlah berharap agar Kerajaan Negeri Pahang lebih bersikap terbuka dalam menangani isu-isu rakyat selepas ini. Jangan hanya tahu bercakap tetapi perlaksanaannya "nothing". Marilah kita bersama-sama membina sebuah negeri yang adil, makmur, sejahtera dan saksama]. Sumber: pahangdaily

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments