KUANTAN - Bekas Timbalan Menteri Datuk Fauzi Abdul Rahman, bukanlah nama asing dalam politik Pahang. Malah namanya pernah ‘meletup’ pada satu ketika dulu apabila mengambil tindakan berani membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Penerangan yang juga Setiausaha Agong Umno ketika itu Tan Sri (Tun) Khalil Yaakob pada 2001 berkaitan penyelewengan balak negeri Pahang. Namun begitu selepas nama bekas Adun Beserah itu tersingkir daripada senarai calon pilihan raya umum (PRU) 2004, namanya seolah-olah dilupakan. Bagaimana pun selepas meninggalkan Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jun lalu, namanya kembali menjadi sebutan. Pada 20 Disember yang baru lalu pula Fauzi dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Pahang yang baru menggantikan Zakaria Abdul Hamid yang mengisi jawatan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PKR Pusat. Fauzi, 62, yang dianggap membuat ‘come back’ dalam politik negeri ini dan meninjau pendapatnya dalam beberapa isu terutama melibatkan negeri Pahang. Antara yang membuatkannya tidak dapat berdiam diri ialah melihat cara menguruskan negeri ini yang dianggapnya tidak competent, accountable dan transparent. Menurutnya, keadaan inilah yang menyebabkan Pahang sedang menghadapi kemelut dan masaalah kewangan yang tenat.
Ini terbukti dengan pembentangan bajet baru-baru ini yang mengalami defisit menghampiri RM100 juta untuk tahun kesebelas berturut-turut. Sedangkan pada masa yang sama hutang kerajaan negeri dikatakan telah mencecah RM 1.5 billion. Ini ditambah lagi dengan Kerajaan Pahang hari ini diselubungi pelbagai isu seperti disaman RM60 juta, anak-anak syarikat kerajaan negeri tak pernah untung dan terbaru peristiwa memalukan penyitaan Astana Golf Club (milik PKNP) kerana gagal membayar hutang Agro Bank. “Saya sedikitpun tidak terkejut dengan keadaan begini, malahan pada tahun 2001, semasa saya membuat laporan polis atas kepincangan pengurusan kewangan kerajaan negeri ketika itu, saya telah meramalkan bahawa Pahang akan menghadapi kemelut dan masalah kewangan dalam tempoh masa 10 hingga 15 tahun’. “Dalam bahasa kasarnya, Pahang akan muflis. Telahan saya ternyata benar. Tetapi, ketika itu Umno cop saya sebagai penderhaka dan pengkhianat,” kata Fauzi. Berbalik kepada isu situasi kewangan negeri ini, Fauzi yang juga Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pertama itu berkata, Pahang bernasib baik mendapat ihsan kerajaan pusat yang boleh bertolak ansur tidak membayar hutang. Malahan kerajaan pusat terus memberi pelbagai kemudahan kewangan dan pinjaman.
Tidak Competent, Accountable Dan Transparent
“Saya percaya semua ini terjadi kerana tidak adanya competent, accountable dan transparent dalam amalan pengurusannya. Saya nampak penyelesaiannya tetapi selepas Kerajaan Negeri Pahang ditadbir oleh PR. Sebab selagi masih di bawah Umno/BN pemimpinnya tidak serius menyelesaikannya”. “Saya beri jaminan kepada rakyat negeri ini, kerajaan PR mampu mengubah trend ini dan mampu mengembalikan ekonomi negeri Pahang sebaik mungkin. Mengapa tidak? Semasa kerajaan negeri di pimpin oleh orang-orang yang tidak berpendidikan tinggi seperti Ayah Engku Wan Aziz, Tan Sri Yahaya Md Seh, Dato Haji A Aziz Ahmad dan Dato Mohammad bin Jusoh, dalam tahun 50an dan 60an, Pahang ada simpanan rizab melebihi RM200 juta”
“Tahun 2009 akan lebih mencabar dan lebih getir. Pahang memiliki lading-ladang kelapa sawit dan getah terbesar di Malaysia. Komoditi akan terus tidak menentu. Harga barangan tidak turun setimpal dgn harga minyak dan masih di paras yang tinggi buat ketika ini. Kerajaan Pusat menghadapi pendapatan yang jauh merosot dan tidak mampu membantu kerajaan-kerajaan negeri lagi,” jelas Fauzi. Apakah wujud peluang bagi PR mengenepikan BN dan seterusnya mentadbir Pahang selepas PRU 13? Sedangkan Pahang merupakan kubu kuat Umno? Ini terbukti pada masa tempat-tempat lain berlaku tsunami politik pada PRU 12, Pahang masih mengekalkan status quonya sebagai kubu Umno tanpa perubahan. Bagi Fauzi , secara peribadi beliau merasa yakin PR boleh membentuk kerajaan di negeri Pahang selepas PRU 13 nanti. Katanya ini berdasarkan perubahan rakyat negeri ini yang menerima PR dan sambutan rakyat di lima negeri di bawah PR kini yang dilihat berkebajikan dan mesra rakyat.
Mesra, Dato' Fauzi diapit oleh Anwar dan Zakaria di sebelahnya ketika pengumuman beliau menyertai PKR satu ketika dulu.
“Memang media arus perdana tidak henti-henti menidakkan kejayaan kerajaan-kerajaan di lima negeri PR. Yang penting ialah perasaan sebenar rakyat. Saya yakin rakyat lebih selesa di bawah pemerintahan PR daripada pemerintahan BN. Saya yakin juga rakyat sekarang lebih cerdik dan lebih bermaklumat”. “Kita sedar BN lebih superior dari segala sudut “Man, Machinery, Money and Media”. Namun mitulah cabaran bagi saya dan kawan-kawan dalam parti komponen PR. PKR dan PAS serta DAP berazam meningkatkan kesedaran rakyat bahawa Pakatan Raayat adalah parti yang viable dan merupakan parti masa depan yang mampu mentadbir negeri ini lebih cemerlang lagi”. Beliau berkata Kita rakyat tahu bahawa kehadiran kami memberi manfaat kepada rakyat jelata keseluruhan nya. We will form a more competent, more accountable, more transparent and a more inclusive Government. Mesej kami ialah kerajaan dibawah PR adalah kerajaan milik raayat. Rakyat adalah bos kepada Menteri Besar, bukan sebaliknya di mana persepsi hari ini adalah Menteri Besar bos dan rakyat hanya perlu akur kepada segala seruan”.
Roadshow Bertemu Rakyat Di Seluruh Pahang
Meski pun begitu Fauzi mengaku tugas ini adalah berat disebabkan kekangan media arus perdana elektronik dan cetak. Sedangkan informasi dari teknologi maklumat juga terhad. Cara yang ada ialah bersemuka dengan rakyat. Ini bermaana PR terpaksa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri memberi maklumat kepada raayat supaya rakyat ada pilihan. “Ini tidak mematahkan semangat kami. Kami yakin bahawa raayat dahagakan informasi. Kami menerima undangan demi undangan dari seluruh Pahang dan saya bersama rakan seperjuangan tidak akan menghampakan raayat Pahang. Kami berazam turun ke padang dan sebab itu masyarakat melihat aktiviti penerangan kami berjalan secara berterusan, tiada nokhtah. Orang putih kata, Good things dont come easy. Pepatah Melayu pula menyatakan di mana kan dapat sagu jika tidak dipecah ruyungnya”. Mengenai perbezaan yang mungkin wujud dalam parti-parti komponen PR, Fauzi mengakuinya namun baginya itu bukannya satu keanehan. Katanya di dalam BN, parti-parti komponennya juga memiliki perbezaan yang ketara sebagai contoh Umno memperjuangkan kepentingan Melayu, MCA kepentingan Cina dan MIC kepentingan India. Laungan isu ketuanan Melayu oleh Umno juga tidak disenangi oleh MCA dan MIC.
“Contoh yang kedua, ialah berkenaan dengan sekolah satu aliran. Ada pemimpin dan ahli Parlimen Umno minta supaya diwujudkan hanya satu aliran. Ada pemimpin Umno mendesak supaya ditutup sekolah selain daripada aliran Bahasa Melayu. Apa pendirian MCA dan MIC dalam hal ini? “Dalam PR, kita mengambil jalan persamaan. Persamaan dalam ketiga-tiga parti adalah cukup jelas dan nyata. Persamaan itu besar. PR tidak akan memperkecilkan persamaan yang besar dan tidak akan memperbesarkan perbezaan yang kecil. Perjuangan PKR adalah berasakan kepada keadilan. Perjuangan DAP adalah social justice iaitu keadilan sosial. Perjuangan PAS adalah Islam dan asas kepada kepimpinan dan pemerintahan Islam adalah keadilan. Ini merupakan asas yang paling utama dalam kehidupan dan ketiga-tiga parti memperjuangkannya”.
“Akhirnya saya ingin menyeru dan mengajak rakyat negeri Pahang memikirkan dengan sedalam-dalamnya di atas keadaan di negeri ini. Rakyat harus menganggap kehadiran PR adalah sesungguhnya untuk memudahkan urusan mereka. Kita bukan berhasrat untuk menumbang Kerajaan, kita berhasrat untuk menubuhkan Kerajaan dan menggantikannya dengan kerajaan baru yang pada khidmat saya pastinya lebih baik dari yang ada. Negeri Pahang berada dalam keadaan bahaya dan kelemahan pemerintahan akan akhirnya menyulitkan kehidupan rakyat. Kami tawarkan diri kami sebagai alternatif”. “Ibarat kata pisau di tangan rakyat timun pun di tangan rakyat. Dalam demokrasi, sesungguhnya rakyat adalah tuan. Berjumpa lagi disatu masa dimana Pakatan Rakyat menjadi kerajaan dan BN menjadi pembangkangnya!”. Sumber : Sidang Online & Pahang Daily
[Biarpun perlantikan Dato' Fauzi mencetuskan kontroversi dan berbagai spekulasi yang timbul selepas perlantikan itu, namun hakikat harus diterima oleh semua pihak secara profesional. Arus perubahan yang melanda memerlukan kepimpinan baru dalam masa yang sama ia bukanlah bererti menolak kepimpinan sedia ada. Kami terkadang hairan dengan sikap sesetengah pihak yang melatah dengan perlantikan tersebut. Seolah-olah parti PKR adalah hak milik mutlak individu tertentu. Pemimpin bisa datang dan pergi, maka itu kita harus menerima angin perubahan tersebut. Inilah yang dinamakan reformasi. Jika ada yang tidak berani menghadapi situasi sebegini maka akan rosaklah masa depan perjuangan mereka sendiri selepas ini. Kami tidak mahu berpihak kepada sesiapa dalam hal ini. Namun keputusan telah dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti dan dipersetujui oleh semua pihak. Namun kenapa harus ada yang melenting dan memberontak hingga boleh mengundang musuh kelak].